Khamis, 29 November 2012

Makanan haram pengaruhi lakukan dosa

Pemilihan makanan halal perlu diberi perhatian. Perkara ini penting kerana banyak makanan dihasilkan oleh pengusaha bukan Islam. Kemungkinan termakan makanan haram disebabkan bercampur kandungan haram seperti sumber daripada babi atau cara penyembelihan tidak mematuhi syariat, agak besar jika kita tidak berhati-hati.

Tidak haram makan makanan dihasilkan pengusaha bukan Islam jika dipastikan bahannya halal dan disediakan mengikut kehendak Islam. Namun, lebih baik jika umat Islam mengutamakan makanan disediakan orang Islam untuk mengelak keraguan. Memastikan yang halal wajib diusahakan.
Firman Allah bermaksud: “Oleh itu makanlah (wahai orang-orang yang beriman) semua yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyambah-Nya semata-mata.” (Surah al-Baqarah, ayat 172)

Firman Allah bermaksud: “Oleh itu makanlah (wahai orang-orang yang beriman) semua yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyambah-Nya semata-mata.” (Surah al-Baqarah, ayat 172)

Pengaruhi jiwa, minda

Makanan haram memberi kesan besar kepada kehidupan Muslim terutama dalam mempengaruhi jiwa dan minda. Jasad yang terbina daripada makanan haram akan mendorong melakukan perbuatan derhaka kepada Allah. Sifat buruk seperti tamak, hasad, malas melakukan ibadat dan cintakan kehidupan dunia lebih cenderung dilakukan mereka yang hidupnya menggunakan makanan haram.

Seorang ulama, Sheikh Ali Syazali ada menyebut: "Sesiapa memakan benda yang halal, maka hatinya menjadi lunak, tipis dan bersinar, sedikit tidurnya dan tidak terhalang daripada berhadapan dengan Allah. Sebaliknya, sesiapa makan benda tidak halal, maka tergeraklah semua anggota badan melakukan maksiat."

Memakan makanan haram menyebabkan kemurkaan Allah. Jasad terdapat daging dan darah yang terhasil daripada sumber haram tidak diterima ibadatnya dan sukar dimakbulkan doanya. Di akhirat hidupnya adalah di dalam neraka. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh daripada sesuatu haram, maka apa neraka baginya adalah lebih utama." (Hadis riwayat Tirmizi).
Justeru, amat penting selidiki dan memastikan sumber makanan dan minuman dimakan serta diminum adalah halal. Ahli keluarga yang hidup daripada sumber makanan haram tidak akan menikmati kebahagiaan hidup biarpun dalam kemewahan dan kesenangan. Hati dan perasaan kosong dan sentiasa tidak bahagia.

Kita perlu makan untuk keperluan jasad membina kekuatan fizikal dan minda, bukan makan untuk kepuasan hidup. Fahaman ini mendorong perbuatan minum arak dan terpengaruh dengan teori karut untuk memuaskan nafsu dengan memakan haiwan eksotik.

Dilarang melampaui batas

Islam tidak melarang menikmati makanan dan minuman yang diingini selagi tidak melampuai batasan agama. Makan banyak dan tidak terkawal menjadi punca obesiti dan mendatangkan banyak masalah kesihatan.

Kita perlu bersyukur nikmat makanan dikurniakan Allah SWT. Bayangkan nasib mereka berdepan masalah kekurangan makanan.

Allah SWT menjadikan kelaparan sebagai satu ujian. Sesiapa yang bersabar dia beroleh kegembiraan.

Kelaparan yang dimaksudkan bukan saja tiada makanan, tetapi juga pantang akibat penyakit. Justeru, langkah awal untuk mengelak penyakit ialah mengawal cara pemakanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan