Pengenalan
Masyarakat Melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap
daripada pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu
kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat
sehingga membentuk kebudayaan Melayu. Ini termasuklah suka
bergotong-royong menjalankan kegiatan ekonomi, di mana ikatan itu terus
diperkukuh dan dipererat dengan acara-acara keramaian dan juga hiburan.
Lantaran resam yang demikian maka banyak permainan tradisional yang
dipertandingkan.
Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada
kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Asas penting yang
menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah
keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Kegiatan harian, bermusim dan
tahunan daripada individu ke individu tidak banyak berbeza. Ini
membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah sejak
dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian.
Apabila musim menuai padi berakhir dan musim tengkujuh tiba pesawah dan
nelayan mengisinya dengan kerja-kerja sampingan. Kerja-kerja demikian
boleh ditangguhkan dengan mudah. Tempoh peralihan antara musim inilah
digunakan untuk mengadakan keramaian serta pesta.
Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk
kampung berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau
sekadar memberi semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh
mewujudkan interaksi sosial di antara kampung-kampung yang mengambil
bahagian. Oleh yang demikian permainan tradisional juga dikenali sebagai
permainan rakyat. Ada di antara permainan ini yang sekarang tidak
dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita
sahaja. Tetapi ada juga yang masih dimainkan lagi oleh kanak-kanak
sehingga hari ini. Di antara permainan itu termasuklah guli, congkak,
wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain.
Permainan Sepak Raga
Permainan sepak raga wujud sejak 600 tahun lalu. Pada zaman
Kesultanan Melayu Melaka, selain dimainkan oleh golongan bangsawan,
rakyat jelata juga menggemari permainan ini. Dalam sejarah Melayu
menceritakan tentang Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah Muhammad
tertanggal tanjaknya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar.
Bola sepak raga diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam
bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa dua atau tiga lapis.
Cara Bermain
Dalam permainan sepak raga, beberapa pemain berdiri dan membentuk
satu bulatan. Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain
melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang
bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya
ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau
bulatan itu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya
supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, permainan dalam
pusingan tersebut ditamatkan.
Menimang Bola
Permainan ini memerlukan ketangkasan dan kecekapan fizikal serta
ketajaman mata untuk mengukur pergerakan. Matlamat setiap pemain ialah
memantapkan kemahiran menerima hantaran bola raga dan menimangnya dengan
selesa selama yang mungkin. Jangka masa permainan tidak ditentukan
kecuali dalam pertandingan yang lazimnya dianjurkan sebagai acara
berpasukan. Pasukan yang berjaya membuat timangan paling banyak dalam
suatu tempoh yang ditetapkan, dikira menang.
Pada masa ini sepak raga tiada lagi dimainkan, ianya telah ditukar
dengan nama kepada sepak takraw. Sepak takraw mengadukan dua pasukan
yang dipisahkan oleh jaring, seperti dalam permainan badminton. Pasukan
sepak takraw terdiri daripada tiga pemain. Tekong melakukan sepak mula
dan mengawal bahagian belakang gelanggang. Apit kiri dan apit kanan
mengawal bahagian hadapan gelanggang dan memikul tugas utama mematikan
bola di gelanggang lawan.
Permainan Gasing
Permainan gasing adalah permaian yang popular di Semenanjung
Malaysia. Ia bukan sahaja boleh dimainkan oleh kanak-kanak malahan orang
dewasa juga gemar bermain gasing.
Jenis-jenis Gasing
Jenis gasing yang terdapat di Malaysia termasuk gasing jantung,
gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing
berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing
pinang.
Membuat Gasing
Kayu yang paling sesuai dari spesis merbau, seperti merbau tanduk,
merbau darah, merbau johol dan merbau keradah, ianya mudah dilarik
tetapi tidak mudah serpih. Selain itu kayu leban tanduk, limau, bakau,
koran, sepan, penaga, keranji juga menjadi pilihan. Jenis kayu yang
mudah didapati seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa sering
digunakan untuk membuat gasing.
Kayu tersebut dilarik menggunakan alat pelarik, mengikut saiz dan
bentuk gasing yang telah ditetapkan. Sebelum kerja melarik dimulakan
besi paksi dibenamkan ke dalam kayu tersebut agar keseimbangan dari segi
bulatnya dapat dilakukan ketika melarik.
Setelah gasing disiapkan maka kerja-kerja terakhir dilakukan, seperti
melilitkan timah pada kepak gasing tadi agar menambah berat lagi gasing
itu hingga seberat lima kilogram dan juga tak mudah serpih. Untuk
menambah indah rupa parasnya maka tanduk kerbau dipasangkan dibahagian
kepala gasing serta dikilatkan dengan varnis. Ini terdapat pada gasing
leper atau untuk gasing uri sahaja.
Cara Bermain
Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau
gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya
mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji
ketahanannya berpusing.
Gasing pinang dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan
sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya,
kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta
pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan.
Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga
5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan
gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak
dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.
Pertandingan Gasing
Pertandingan gasing uri berbeza dengan gasing pangkah. Gasing uri
lebih bersifat individual, manakala gasing pangkah bersifat kumpulan.
Permainan Konda Kondi
Konda-kondi juga dikenali sebagai Perik Mata memerlukan fikiran yang
tajam dan kekuatan pemain, iaitu ketika memikir arah yang selamat untuk
menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan.
Permainan ini memerlukan kawasan lapang.
Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu
kecil berukuran, l5cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini
berbentuk bulat dan berukuran 2cm garis pusat. Kayu yang pendek
dipanggil anak dan yang panjang dipanggil ibu. Lubang sedalam 15cm juga
dikorek bagi meletakkan kayu panjang.
Undian secara ‘wan to som’ dijalankan bagi membentuk pasukan dan menetapkan pasukan mana yang harus memainkan terlebih dahulu.
Permainan Pertama
Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek
melintang lubang, kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu
supaya melambung ke udara, setelah itu kayu panjang diletakkan semula
melintang lubang sementara itu, ahli pasukan lawan hendaklah cuba
menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke
tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain
daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan
diambil alih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal
menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke
dalam lubang ataupun mengena kayu panjang.
Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu panjang
yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira mati.
Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak
mengenai lubang atau kayu panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan
mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu
panjang dikira satu mata.
Permainan Kedua
Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkan ke udara,
kemudian memukulnya kuat dengan kayu panjang. Dia diberi peluang
sebanyak tiga kali jika pukulan pertama atau keduanya tidak kuat.
Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut jika tidak berjaya. Pemain
tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh
dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.
Permainan Ketiga
Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk
ular. Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang, kemudian mengetuk
hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan
baik, kayu pendek akan melentik ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia
untuk memukul kayu pendek itu sebelum jatuh ke tanah, dengan menggunakan
kayu panjang. Tempat kayu pendek itu jatuh dikira mata, iaitu
mengiranya dengan menggunakan kayu panjang, kiraan mata tetap sama
seperti sebelumnya. Pasukan yang mempunyai mata tertinggi memenangi
perlawanan ini.