SEIRING...bakat dan kecantikannya menjadi kekuatan.
SELAMA ini ramai tercari-cari siapakah pemilik vokal di sebalik lagu yang semakin hit di corong radio ketika ini, Lepaskan.
Ramai menyangka lagu itu dendangan bekas pemenang program realiti
MyStarz LG, Wana padahal sangkaan itu jauh tersasar apabila
kebenarannya, ia nyanyian pendatang baru yang namanya kebetulan
seakan-akan sama, Wanna Ali.
SALAH SANGKA...ramai keliru antara Wanna Ali dan Wana MyStar LG.
Pasti ramai yang belum kenal dengan pemilik nama penuh Norsyazwana
Mohd Ali ini, namun sukar untuk menyangkal, remaja comel ini punya masa
depan cerah jika digilap dengan betul dan diberikan pendedahan.
Bukan saja memiliki nada vokal yang sedap, malah dia juga dikurniakan
pakej yang baik dari segi imej. Jadi tidak mustahil laluan untuknya
mungkin lebih mudah dalam menembusi industri hiburan di Malaysia.
Bertemunya pada satu sesi fotografi di Balai Berita NSTP,
Bangsar, baru-baru ini, siapa sangka melihat caranya yang selesa beraksi
di depan lensa kamera, Wanna sebenarnya baru mencecah usia 15 tahun!
Sewaktu ditemu bual, jelas terpancar elemen profesional kerana gadis yang memakai pendakap gigi ini bijak mengatur jawapan.
Berbalik kepada isu salah faham mengenai lagu Lepaskan tadi, ternyata
penangan lagu itu benar-benar membuatkan ramai tertanya-tanya siapakah
dia Wanna Ali?
Mengakui mendapat banyak maklum balas mengenai salah
faham itu, Wanna bagaimanapun tidak mengambil hati kerana sedar namanya
belum lagi gah.
“Ramai yang keliru dan ingatkan lagu itu
nyanyian Wana MyStarz LG. Namun bagi kawan-kawan serta orang yang sudah
kenal dengan saya, mereka tahu, itu lagu saya.
“Apabila mendapat
tahu orang keliru antara saya dan Wana, tidak terdetik pun rasa
terkilan kerana nama kami pun hampir sama bunyinya cuma ejaan saja yang
lain,” kata pelajar Sri KDU, Kota Damansara ini.
Baru tamat
peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), menurut Wanna, dia tidak
pernah terfikir akan bergelar penyanyi sepenuh masa kerana baginya minat
menyanyi itu adalah sekadar untuk suka-suka saja iaitu sebagai hobi
masa lapang.
Mula menunjukkan minat menyanyi sejak kecil lagi,
Wanna juga tidak sangka mendapat perhatian daripada komposer Ajai pada
tahun lalu sehingga terus ditawarkan merakamkan lagu di studio.
“Sebelum ini saya lebih kepada berlakon dan nyanyian saya sekadar untuk
diri sendiri saja di rumah tapi apabila mendapat tawaran menyanyi
daripada Abang Ajai, terdetik dalam hati saya, kenapa tidak mencuba?
Jadi akhirnya muncullah lagu Lepaskan.
“Sekarang ini pun, saya
dalam proses untuk menyiapkan album di mana kebanyakan lagu yang
dimuatkan adalah hasil ciptaan Abang Ajai. Memang rasa bertuah sangat
kerana dapat bekerjasama dengan Abang Ajai, apatah lagi dia seorang
komposer berpengalaman.
“Sebanyak lima lagu akan dimuatkan dalam album saya kelak dan ia akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.
Lebih dulu terbabit dalam bidang lakonan, Wanna pernah muncul menerusi
filem Aku Ada, Kau Ada dan akan tampil pula dalam filem Tokan.
Bagaimanapun, dia akan tetap mengutamakan bidang nyanyian buat masa ini.
“Saya meminati bidang muzik sejak kecil lagi dan suka menyanyi
sampailah sekarang. Sebenarnya, saya pun tidaklah menyimpan cita-cita
untuk menjadikan seni sebagai karier tapi apabila peluang sudah terbuka,
saya pun terima.
“Namun kalau diberi pilihan sama ada nyanyian
ataupun lakonan, semestinya saya akan memilih nyanyian. Nyanyian itu
umpama sudah menjadi sebahagian daripada diri kerana setiap masa pun
saya akan habiskan dengan mendengar lagu dan menyanyi di rumah.
“Untuk lakonan pula, saya jadikan ia sebagai batu loncatan untuk menimba
pengalaman dan mencuba sesuatu yang baru,” jelasnya yang datang ke
studio ditemani ibu.
Meminati penyanyi Barat terutamanya Lenka selain turut meminati Adele dan Amy Winehouse, Wanna teringin belajar bermain muzik.
“Saya tahu ramai penyanyi berjaya pada masa ini terdiri daripada
penyanyi yang pada masa sama mencipta lagu sendiri, namun buat masa ini
biarlah saya serahkan dulu tugas itu kepada komposer handalan untuk
membantu saya,” katanya.
Pada masa sama, artis remaja ini yang
turut tersenarai sebagai calon awal kategori Penyanyi Wanita Paling
Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH2012),
tidak sesekali terlintas mengabaikan pelajarannya.
“Walaupun
sudah mula berkecimpung dalam bidang ini, saya masih letakkan pendidikan
sebagai fokus nombor satu. Seperti yang saya katakan, nyanyian ini
hanyalah suka-suka dan paling penting saya mahu berjaya dalam bidang
pelajaran terlebih dulu.
“Saya tidak mahu tergesa-gesa untuk
memutuskan sama ada saya akan teruskan karier dalam nyanyian kerana masa
depan kerjaya ini pun masih lagi samar-samar,” kata anak kedua daripada
empat beradik ini yang menyimpan cita-cita untuk menjadi pakar sakit
puan suatu hari nanti.