Chong Wei sasar rampas gelaran All England
Chong Wei muncul juara Terbuka Malaysia buat kali
kesembilan, pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei kini
menyasarkan untuk merampas kejuaraan Badminton All England tahun ini
daripada musuh tradisinya, Lin Dan dari China.
Pada saingan All England tahun lepas, Chong Wei terpaksa memberi
kemenangan percuma kepada pemain ranking ke-13 dunia itu selepas beliau
mengalami kecederaan bahu pada set kedua.
Terdahulu, Chong Wei yang juga pilihan utama dan juara bertahan Terbuka
Malaysia mudah mengenepikan pilihan kelapan dari Indonesia, Sony Dwi
Kuncoro dengan kemenangan 21-7 dan 21-8 dalam masa 32 minit pada
perlawanan akhir perseorangan lelaki.
"Di sini tiada pemain ternama yang memberikan saingan kepada saya dan
Lin Dan mungkin akan beraksi pada All England Mac nanti... jadi ia
merupakan satu cabaran sebenar buat saya.
"Saya harap mampu merampas kembali kejuaraan All England yang pernah
saya menangi sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas
perlawanan itu di Stadium Putra, Bukit Jalil, hari ini.
Mengulas mengenai kemenangannya untuk kali kesembilan, pemain berusia
30 tahun itu berterima kasih dengan kehadiran ramain penyokong tempatan
yang memberi sokongan padu kepadanya sepanjang perlawanan hari ini.
"Terima kasih banyak-banyak kepada penonton yang hadir memberi sokongan
kepada saya... saya sangat gembira kerana berjaya memenangi kejuaraan
Terbuka Malaysia buat kali kesembilan.
"Saya harap saya boleh teruskan momentum ini pada kejohanan-kejohanan
akan datang termasuk All England," katanya dengan nada gembira.
Chong Wei sebelum ini muncul juara Terbuka Malaysia pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2012.
Kemenangan kali kesembilan yang diraih Chong Wei itu membolehkan beliau
memecah rekod lagenda badminton kebangsaan, Wong Peng Soon yang muncul
juara sebanyak lapan kali iaitu pada 1940, 1941, 1947, 1949, 1950, 1951,
1952 dan 1953.
Sementara itu, jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock berkata
beliau akan memberi tumpuan kepada pemain berkenaan untuk menghadapi All
England.
"Saya hanya akan memilih kejohanan yang benar-benar mampu membantu Chong Wei termasuk Kejohanan Badminton All England.
"Bagi saya, apa yang diperlukan Chong Wei ketika ini ialah kualiti dan
bukannya kuantiti dalam sesuatu latihan (ataupun kejohanan)," katanya
yang mula mengambil alih tugas melatih pemain berkenaan daripada bekas
pemain badminton negara Datuk Misbun Sidek sejak awal 2011. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan