Muzik Ghazal
Ghazal merupakan satu kesenian tradisional masyarakat Melayu Negeri Johor yang popular dewasa ini.Pada peringkat permulaannya, seni muzik ghazal ini disebut sebagai qamat yang bererti nyanyian dan beriuh rendah dikatakan berasal dari Tanah Arab.Pada akhir abad ke-19, apabila kerajaan Johor menjalin hubungan yang erat dengan kerajaan Riau-Lingga, beberapa orang dari golongan bangsawan Johor sering berulang-alik ke Riau. Mereka sering dihiburkan dengan permainan ghazal. Ada di antara mereka itu telah mempelajari kesenian ini dan memperkenalkan kesenian ini di istana Sultan Johor yang pada ketika itu berada di Teluk Belanga,Singapura. Di Istana Teluk Belanga, kesenian muzik ghazal ini telah mendapat perhatian daripada sultan, pembesar-pembesar negeri dan lain-lain golongan istana. Justeru itu, perkembangan ghazal ke peringkat rakyat jelata menjadi cepat dan pesat. Apabila pentadbiran Johor berpindah dari Teluk Belanga ke Tanjung Puteri, kesenian ini turut diperkembangkan dengan lebih pesat lagi di Tanah Besar Johor.
Perkembangan seni muzik ghazal di Negeri Johor sering dikaitkan dengan nama Allhayarham Datuk Bentara Luar, Mohd. Salleh Bin Perang. Semasa membuka daerah-daerah baru di Johor, Datuk Bentara turut juga memperkenalkan seni ghazal dimainkan di rumah-rumah penghulu dan juga pada hari-hari keramaian tertentu.Selain daripada Allahyarham Datuk Bentara Luar, ramai lagi pembesar istana yang turut menyumbangkan tenaga dalam memperkenalkan kesenian muzik ini. Di antaranya ialah Ungku Ahmad Bin Mohd. Khalid (Ungku Chik), Ungku Mohammed Bin Mohd. Khalid , Ungku Sulaimen Bin Daud, Ungku Abdul Aziz Bin Abdul Majid dan Encik Dapat.
Di tengah-tengah arus perkembangan seni muzik ghazal di Johor pada ketika itu muncullah Haji Musa Bin Yusof atau lebih di kenali dengan panggilan Pak Lomak. Pak Lomak adalah cucu kepada Datuk Bentara Luar. Sebagai seorang anak yang lahir di tengah-tengah keluarga mencintai seni ghazal, Pak Lomak tidak dapat memisahkan dirinya daripada seni ini. Beliau telah mempelajari seni muzik ghazal ini dengan begitu mendalam sekali. Ditinjau daripada sudut sejarah perkembangan seni muzik ghazal di Johor dari tarikh perkembangannya bermula dari tempat asalnya di Tanah Arab hingga ke zaman Pak Lomak, perkembangan seni muzik ini telah melalui satu penjelajah yang agak panjang dan mengambil masa yang lama.
Peralatan muzik ghazal pada mula-mulanya terdiri daripada Peti Harmonium, Biola, Gambus dan Tabla atau Do(Gendang). Kemudian alat-alat ini ditambah lagi dengan beberapa jenis alat muzik yang sesuai seperti gitar, kecepi Jepun, Keroncong dan Marakas. Setelah itu dicampurkan dengan alat muzik yang lain seperti ukeleli dan sebagainya tetapi oleh kerana terlampau riuh dan mengganggu serta boleh menghilangkan silau dan lemah lembut lagu-lagu Melayu maka alat-alat itu dibatalkan. Hanya alat-alat yang dinyatakan di bawah ini sahaja di gunakan sebagai Muzik Ghazal Melayu Johor yang tradisional iaitu:-
- Harmonium, alat muzik tradisional yang berasal dari India ini penting bagi Ghazal Melayu Johor.
- Satu set alat tabela (tabla) yang juga merupakan alat muzik yang berasal dari India . Yang kecil dinamakan Din dan yang besar dinamakan Bam.
- Gambus alat muzik yang berasal dari Timur Tengah ini merupakan alat muzik bertali yang perlu ada dalam Ghazal Johor.
- Gitar sejenis alat muzik yang perlu untuk permainan Ghazal Melayu Johor. Alat jenis bertali ini sebagai alat melodi atau rentak.
- Tamborin alat muzik perkusi yang menggantikan alat keroncong diperlukan sebagai alat tempo dan rentak.
- Marakas sejenis alat perkusi yang diperlukan sebagai alat rentak dan tempo.
- Violin alat muzik ini kecil sedikit daripada biola , tetapi biasanya disebut oleh orang-orang Melayu dengan sebutan biola sahaja. Alat jenis bertali ini adalah salah satu alat muzik dalam permainan Ghazal Melayu Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan